Assalamualaikum,
Selamat Pagi.

ULAM RAJA, SALAH SATU MENU MAKAN TENGAHARI | Semalam, masa mak tengah siram bunga, tiba-tiba bapak bagi cadangan... Suruh petik ulam raja buat makan tengahari. Fiza dan mak mengiakan aje. Takdelah nak petik terus... Sebabnya, tips ulam raja segar untuk diulam... Bila nak makan baru petik. Kalau tak, daunnya cepat layu. Biasanya korang buat ulam je ke atau masak apa yang sedap untuk ulam raja ni. Dulu mak pernahla try masak tumis daun ulam raja ni. Mak kata, bila dah masak... Daunnya jadi liat. Tak sedap! Fiza tak pernah pulaklah mencuba.

Kelebihan dan khasiat

Kelebihan Ulam Raja Pada Kesihatan Tubuh Badan

Fiza pernahla baca tentang khasiat ulam raja ni. Salah satunya ulam raja dapat membantu melancarkan peredaran darah, mencuci darah dan menguatkan tulang. Ia mengandungi keupayaan antioksida yang tinggi iaitu setiap 100gm Ulam Raja menyamai keupayaan antioksida 2,400mg L-asid askorbik. Sehingga kini, lebih daripada 20 jenis bahan antioksida telah ditemukan di dalam ulam raja. Banyak tu.

Selain itu, Ulam Raja juga boleh membantu untuk menambahkan kandungan oksigen dalam darah. Penambahan oksigen seperti ini dapat melancarkan peredaran darah, memberi keseimbangan dan kesegaran kepada seluruh tubuh. Maka tidak hairanlah mengapa masyarakat kampung pada zaman dahulu mempunyai tahap kecergasan yang tinggi serta jarang dijangkiti penyakit kronik.

Kajian turut mendapati bahan kimia kloroform yang di ekstrak daripada daun Ulam Raja mengandungi costunolide, stigmasterol, lutein dan bipyridine untuk merencatkan aktiviti sesetengah bakteria atau fungus seperti Candida albicans, Bacillus subtilis dan E. coli. Justeru bagi memastikan tubuh kita mendapat manfaat ini, nikmatilah Ulam raja secara mentah dan elakkan dicelur terlalu lama atau dimasak.

Bagi yang berhasrat untuk mengekalkan keremajaan secara semula jadi, amalan memakan Ulam Raja turut memberi efek awet muda. Berkat khasiatnya yang mampu menambahkan kandungan oksigen dalam darah, maka keanjalan kulit kita dapat dipertingkatkan. Selain itu, amalan memakan sayur-sayuran hijau juga dapat melicinkan kulit serta memancarkan keserian dari dalam.


Kandungan vitamin A dan antioksidan di dalam Ulam Raja juga boleh meningkatkan daya penglihatan dan membantu mengurangkan kesan penuaan. Selain itu, masalah kulit seperti psoriasis atau ekzema juga dapat dirawat secara alternatif melalui pengambilan Ulam Raja. Walau bagaimanapun, dapatkan nasihat pakar atau konsultasi profesional terlebih dahulu sebelum pengambilannya kerana ia tidak sesuai diambil dengan terlalu banyak.

Tu antara khasiat ulam raja. Tapi kan... Ada jugak yang tak suka makan ulam ni. Macam adik-adik Fiza. Dorang tak suka akan rasanya.

Korang pulak bagaimana? Makan tak ulam raja ni?

#ulamraja
#khasiatulamraja