Assalamualaikum,
Selamat Pagi.

AL-QURAN TAGGING AKHIRNYA DIMILIKI | Alhamdulillah, tercapai jugak hasrat untuk memiliki Al-Quran tagging dari Humaira ni. Fiza beli yang saiz A5 dengan harga RM122.50... Siap dengan tagging. Then, Fiza pilih colour hitam merah. 

Kisah

Fiza sangat berpuas hati dengan design Al-Quran ni. Kulitnya keras, kertas isinya pulak jenis lembut. Setiap Juzuk menggunakan kertas yang berlainan warna dan begitu jugak dengan tagging di setiap Juzuk. Seriusss... Cantik sangat. Saiz pun comel je. Actually, ada lagi saiz yang kecil. Tapi, atas faktor usia... Mata pun rabun, so Fiza pilih saiz A5 sahaja... Pendek kata, saiznya sebesar buku latihan budak sekolah ye. Fiza pilih saiz ni... Senang nak bawa ke mana-mana. 

Alhamdulillah, tercapai jugak hasrat nak beli Al-Quran ni. Di kesempatan ini... Fiza nak share jugaklah Fadhilat yang kita dapat apabila melazimkan bacaan Al-Quran dalam kehidupan kita. Moga-moga ianya memberi manfaat buat kita semua hendaknya.

Sama-samalah kita beringat ye...

Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani  yang berkesan dalam membersihkan dan menyinarkan jiwa setiap insan. 

Allah berfirman, “…Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah kitab (al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya, dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan Nya dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izin Nya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” Al-Maidah: 15 dan 16

Ayat di atas menjelaskan peranan al-Quran sebagai pedoman hidup kepada sekalian muslim dalam memperoleh kehidupan yang diredhai. Manusia tidak mungkin mampu untuk hidup dengan seimbang dan sempurna tanpa mendapat bimbingan dari Allah.

Info

Pembacaan al-Quran yang baik ialah apabila kita mengetahui apa yang dibaca. Ini bertujuan supaya kita dapat memahami maksud yang terkandung dan seterusnya mempraktikkannya di dalam kehidupan seharian.  

Namun, masih ada segelintir masyarakat yang beranggapan, pembacaan al-Quran tidak akan berkesan sekiranya maksud sebenar ayat gagal difahami. Andaian ini ternyata tidak tepat kerana bacaan al-Quran baik dilakukan dengan memahami maksudnya ataupun tidak, tetap termasuk dalam salah satu ibadah dan amal soleh yang memberikan manfaat kepada pelakunya. 

KELEBIHAN APABILA MEMBACA AL-QURAN

Berikut beberapa kelebihan membaca al-Quran, antaranya :-

Pertama : Sumber syafaat di hari akhirat
Al-Quran merupakan kalam Allah.  Membacanya disifatkan sebagai satu ibadah yang dapat mendekatkan diri seseorang dengan penciptanya. Di hari akhirat, al-Quran akan datang membawa pertolongan dengan melepaskan pembacanya dari kesusahan serta kesengsaraan. Malah Al-Quran akan menjadi pelindung buat pembacanya di padang Mahsyar di mana ia akan bertindak sebagai pembela utama di hari akhirat. Rasulullah s.a.w bersabda,

“Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (HR Muslim).

Kedua : Sebaik- baik amalan
Membaca al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut oleh syarak. Al-Quran disifatkan sebagai sumber peraturan dan hukum-hakam dalam mengawal tingkah laku manusia. Al-Quran turut mengajak pembacanya supaya mentauhidkan Allah serta bertakwa kepada Nya. Ia  merupakan sebaik-baik amalan dalam membangunkan jiwa setiap insan. Uthman Bin Affan meriwayatkan,

“Sebaik-baik manusia di antara kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR Bukhari)

Ketiga : Diberi kemuliaan serta ganjaran 
Dua pahala bagi yang tidak mahir
Allah akan mengangkat martabat dan kemuliaan pembaca al-Quran. Mereka akan diletakkan bersama para rasul yang mulia. Rasulullah bersabda,

“Orang (Mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran, padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia berhak mendapat dua pahala.” (HR Muslim)

Selain itu, golongan yang tidak mahir membaca akan turut diberikan ganjaran berganda sebagai ganjaran ke atas usaha mereka. 

Keempat : Keharuman jiwa
Golongan yang membaca al-Quran disifatkan sebagai buah yang harum dan manis rasanya. Rasulullah menyatakan tentang kelebihan martabat serta keutamaan orang membaca al-Quran,

“Perumpamaan orang Mukmin yang membaca al-Quran, adalah seperti buah utrujjah (ada pendapat mengatakan seperti epal dan lemon), baunya harum dan rasanya lazat; orang Mukmin yang tidak suka membaca al-Quran, adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tetapi manis rasanya; orang munafik yang membaca al-Quran ibarat buah Raihanah iaitu buah yang berbau harum tetapi rasanya pahit; dan orang munafik yang tidak membaca al-Quran, tak ubahnya seperti buah hanzalah (peria), tidak berbau dan rasanya pahit sekali.” (HR Muslim)

Kelima : Memberikan ketenangan
Daripada al-Bara’ bin Azib r.a., “Seorang lelaki sedang membaca surah al-Kahfi dan bersamanya seekor kuda yang terikat dengan tali yang panjang. Tiba-tiba kepulan awan datang menutupi kuda dan berputar di sekitar kudanya, keadaan ini membuatkan kudanya lari.  Apabila tiba waktu pagi beliau datang menemui Nabi lalu baginda bersabda: ‘Itulah ketenangan yang diturunkan bersama al-Quran.” (HR Muslim)

Manusia hanya akan beroleh ketenangan sekiranya fitrah atau rohaninya terisi, subur dan sihat.  Al-Quran merupakan senjata yang mampu menumpaskan musuh-musuh jiwa seperti syaitan dan nafsu. Ia  ibarat penawar buat hati dan fikiran yang nescaya mampu memberikan ketenangan untuk hidup di dunia serta kebahagiaan di akhirat.

Keenam : Setiap satu huruf dikurniakan pahala
Allah yang Maha Pemurah memberikan pahala  yang amat besar kepada orang yang membaca al-Quran.  Malah, Baginda s.a.w turut berpesan, al-Quran adalah sumber bagi banyak kebaikan kerana ia membekalkan pahala yang melimpah.

“Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu dilipatgandakan dengan 10 (pahala). Aku tidak mengatakan “Alif Laam Mim” adalah satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (HR Tirmidzi)

Ketujuh : Rumahnya bercahaya
Bacaan al-Quran baik dengan memahami erti atau tidak merupakan satu ibadah yang akan memberi faedah dan manfaat kepada pengamalnya. Justeru al-Quran akan memberikan cahaya yang terang benderang di dalam hati pembacanya serta cahaya di dalam rumah tempat ia dibaca. Di dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda, 

“Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga mu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran.” (HR  Baihaqi)

Untuk mendapatkan kebahagiaan dalam rumah tangga maka lazimilah lidah dengan membaca al-Quran.

Subhanallah!

Betapa besarnya kelebihan disebalik kita membaca Al-Quran. Kan?

Semoga dengan adanya Al-Quran ni, bertambahlah kerajinan untuk membacanya setiap hari. Mudah-mudahan hendaknya. Aamiin...

Sumber | Utusan